Wanita bernama Sulaimah Mahmood ini mungkin tidak dikenali ramai dalam masyarakat Melayu/Islam kita, namun beliau sebenarnya salah seorang tokoh begitu berpengaruh dalam landskap perdagangan Singapura.
Hasil rundingan yang beliau ketuai di pentas dunia bagi pihak Singapura, bukan sahaja memanfaatkan jutaan penduduk negara ini, malah juga memanfaatkan lebih dua bilion penduduk dunia.
Rundingan yang dimaksudkan itu ialah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) – iaitu perjanjian dagangan bebas terbesar dunia yang dimeterai 15 negara baru-baru ini.
Cik Sulaimah mencuri perhatian umum sekitar dua minggu lalu apabila muncul dalam catatan Facebook Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang berkongsi sekeping gambar memperkenalkan Cik Sulaimah sebagai Ketua Perunding RCEP di pihak Singapura.
Duta Kelana Singapura Prof Tommy Koh, dalam catatan Facebook beliau juga memuji Cik Sulaimah sebagai antara perunding dagangan terbaik negara ini.
Pada Rabu (25 Nov), Cik Sulaimah, yang juga merupakan Pengarah Kanan di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Divisyen ASEAN, bertemu dengan pihak media untuk berkongsi pengalamannya mewakili negara untuk merealisasikan RCEP yang dipersetujui ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Ini bermakna setiap negara boleh mengimport barangan satu sama lain dengan tarif minimum atau tiada sama sekali – suatu langkah yang dijangka merangsang lagi kegiatan ekonomi blok 15 negara itu.
Sebagai Ketua Perunding RCEP Singapura, Cik Sulaimah mengetuai pasukan hampir 50 pegawai daripada pelbagai agensi negara ini.
“Peranan saya pastinya untuk memastikan RCEP ditandatangani. Ia adalah perjanjian yang baik untuk Singapura. Untuk merundingkan huraian terbaik yang diinginkan daripada perjanjian ini dan semasa rundingan ada masa di mana kami perlu bertolak ansur dan lebih fleksibel demi mencapai keseimbangan dengan rakan-rakan negara lain.
Jadi, adakah pemeteraian RCEP yang beliau rundingkan merupakan kemuncak kerjayanya? Cik Sulaimah menjawab bahawa beliau sebenarnya tidak dapat menentukan pencapaian mana yang terbaik sepanjang kerjayanya yang bermula pada 1981.
“Tapi saya tahu bahawa esok pasti akan ada perkara-perkara baru untuk dipelajari dan bidang-bidang baru untuk diterokai,” tekan tokoh veteran ini.