10 batang kayu gaharu, bernilai RM2 juta dirampas

Polis merampas 10 batang pokok kayu karas dipercayai dicuri serta pelbagai hasil produk daripada kayu berkenaan, dianggarkan bernilai RM2 juta hasil serbuan ke atas tiga lot kedai di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Razali Abu Samah berkata, dalam serbuan pada 8.30 pagi pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan dipercayai pemilik dan penjaga premis, serta suami isteri warga asing berusia lingkungan 30 hingga 58 tahun.

“Selain arca dan pokok kayu karas, polis turut merampas 16 guni berisi habuk kayu karas dianggarkan seberat 100kg bagi setiap guni, 37 botol cecair kayu karas yang sudah diproses dan 10 kulit kayu gaharu,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Pokok karas atau gaharu merupakan sejenis pokok yang tergolong di bawah spesis Aquilaria ataupun nama botaninya Aquilaria Malaccensis Lamk. Terdapat sebanyak 25 spesies pokok Karas yang telah dilaporkan di seluruh dunia.

Razali berkata, siasatan awal mendapati kegiatan beli dan memproses pokok kayu karas untuk dijadikan minyak wangi, arca dan colok di premis itu sudah beroperasi sejak 2018 dan aktiviti itu terbongkar selepas pihaknya menerima empat laporan pada Oktober dan November lalu.

Berdasarkan laporan berkenaan, kata Razali kayu itu dipercayai ditebang dan dicuri dari dalam hutan di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong walaupun suspek mereka cerita konon membelinya dari Pahang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemilik premis tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan hanya mendaftarkan perniagaannya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan perniagaan menghasilkan “swiflet vinegar” atau cuka burung walit, bagi kegunaan perusahaan sarang burung walit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here