70% penduduk S’pura gunakan TraceTogether

Lebih daripada 70 peratus rakyat Singapura sedang menggunakan aplikasi atau token TraceTogether, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak Vivian Balakrishnan pada Rabu (23 Dis).

Pihak berkuasa sebelum ini menetapkan kadar penggunaan 70 peratus bagi TraceTogether sebagai salah satu syarat untuk Singapura beralih ke Fasa 3 pembukaan semula. Fasa 3 akan bermula pada 28 Dis.

Bercakap kepada para wartawan di Kelab Masyarakat Kampong Kembangan di mana pengedaran token sedang dijalankan, Dr Balakrishnan berkata: “Kami sudah pun menjangkau kadar penyertaan 70 peratus bagi TraceTogether. Terdapat lebih daripada 2 juta individu yang sudah pun memuat naik aplikasi itu dan mendaftar dan sedang menggunakannya.

“Selain itu, sejak 14 Sep, ketika kami mula mengagihkan token TraceTogether, kami sudah mengagihkan 1.75 juta token. Ia merupakan jumlah yang besar dan saya amat berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan dari rakyat Singapura.”

Namun Dr Balakrishnan menekankan bahawa ini “bukanlah satu angka ajaib”, memandangkan bagaimana program menjejaki hubungan rapat akan “jauh lebih” berkesan jika lebih ramai orang menyertainya.

“Jadi jangan berhenti di situ. Mari kita terus berusaha dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada norma baru sedang kita melangkah ke Fasa 3,” menurut Dr Balakrishnan.

Dr Balakrishnan, yang juga merupakan Menteri Ehwal Luar, berkata permintaan bagi token percuma TraceTogether menjangkaui jangkaan pihak berkuasa.

Lebih daripada 50 peratus penduduk sudah berdaftar dan mengambil token di beberapa kelab masyarakat, katanya. Oleh demikian, pemerintah telah menambah tempahan bagi token-token tersebut.

“Ini bermakna menjelang penghujung Februari 2021, kami akan menghasilkan dan mengagihkan sekitar lima juta token, yang tentunya cukup untuk setiap orang yang memerlukan token,” katanya.

“Sepanjang beberapa minggu dan bulan mendatang, dengan bekalan tambahan token yang diterima, kami akan membuka semula kelab-kelab masyarakat yang sekarang ini tidak mengagihkan token. Oleh itu saya mahu menekankan bahawa anda tidak perlu terburu-buru.”

Orang awam akan dimaklumkan akan tarikh pembukaan kelab-kelab masyarakat itu sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal. Para penduduk juga boleh melungsuri laman web TokenGoWhere, atau papan pemberitahuan masyarakat untuk mendapatkan kemas kini, menurut satu kenyataan media berasingan oleh Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital.

Pemerintah juga akan melakukan pengagihan token TraceTogether di sekolah-sekolah meskipun Dr Balakrishnan tidak mendedahkan garis masa.

“Keutamaan kami buat masa ini adalah untuk membuka semula semua kelab masyarakat untuk masyarakat. Sebaik sahaja kami sudah mencapainya dan bekalan tambahan tiba, kami kemudian boleh melakukan pengagihan di sekolah-sekolah jadi saya tidak mahu menetapkan garis masa khusus bagi sekolah-sekolah buat masa ini,” katanya kepada para wartawan.

Dr Balakrishnan menekankan bahawa token TraceTogether tidak akan diperlukan bagi para pengguna telefon bimbit yang sudah pun memuat turun aplikasi TraceTogether.

“Sungguhpun begitu, saya sedar bahawa (token) ini sudah menjadi barang yang agak popular atau berguna bagi kebanyakan penduduk, justeru kami memutuskan untuk menghasilkan token tambahan,” katanya.

Daftar masuk SafeEntry yang wajib hanya melalui penggunaan aplikasi TraceTogether akan dilaksanakan apabila “setiap orang yang perlu atau berhasrat menggunakannya, mempunyai token atau aplikasi itu”, kata Dr Balakrishnan.

Beliau juga berkata langkah berjaga-jaga seperti program TraceTogether akan terus menjadi “sebahagian” daripada kehidupan, walaupun dengan ketibaan vaksin COVID-19 di Singapura.

“Meskipun kami mula menjalankan program vaksinasi, ia akan mengambil masa untuk kami memberikan vaksin kepada seluruh penduduk,” katanya.

“Walaupun dengan kehadiran vaksin, ia adalah penting untuk kita mengekalkan jarak selamat dan langkah-langkah keselamatan. Anda tidak boleh bersikap leka dan tidak boleh berpeluk tubuh. Sebabnya adalah dalam kes vaksinasi, anda tidak selamat sehingga setiap orang selamat.

“Justeru, saya lihat tentunya sepanjang tahun hadapan dan mungkin selepas itu, kami perlu terus mengambil langkah-langkah kesihatan dan keselamatan seperti yang sudah kita lakukan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here