Polis berjaya menumpaskan sindiket Macau Scam dan judi dalam talian, selepas 11 individu ditahan termasuk empat warga China dalam tiga serbuan di sekitar ibu negara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan pertama kira-kira 3.30 petang Isnin itu, tiga lelaki warga China berusia 28 hingga 34 tahun ditahan di sebuah kondominium di Jalan Doraisamy, Off Jalan Sultan Ismail di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 40 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer, wang tunai negara China berjumlah 1,168 yuen (RM725) dan wang tunai kira-kira RM5,011.
“Siasatan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan pelaburan iaitu Macau Scam dan kesemua mereka direman empat hari sehingga 25 Dis untuk siasatan lanjut,” katanya satu dalam kenyataan.
Mohamad Zainal berkata dua serbuan seterusnya dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di satu residen di Jalan Conlay dekat sini.
Menurutnya, dalam serbuan di sebuah bilik di situ, kira-kira 5.30 petang, pihaknya menahan seorang lelaki warga China berusia 35 tahun, yang disyaki terbabit dalam judi dalam talian dan kini ditahan reman sehingga 25 Dis.
Katanya, setengah jam kemudian, pihaknya menyerbu sebuah bilik di lokasi sama dan menahan tujuh individu termasuk dua wanita warga asing dari Thailand dan Vietnam, berusia 21 hingga 33 tahun.
“Hasil pemeriksaan polis menemui antaranya daun terup, kertas catitan perjudian dan wang tunai RM23,200. Semuanya direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut,” katanya.