Tourism-Pacu pemulihan industri pelancongan, ekonomi

Kerajaan yang melancarkan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 hari ini mengumumkan enam teras strategik utama dalam usaha memulihkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pendekatan utama pelaksanaan teras ini merangkumi pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif serta kesedian mengharungi bencana pada masa akan datang.

Enam teras itu ialah melaksanakan transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif, mempergiatkan digitalisasi pelancongan, memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan dasar itu berkata, industri pelancongan negara yang mengalami kerugian melebihi RM100 bilion tahun ini dijangka memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk dipulihkan semula.

Tempoh itu agak panjang dan memberikan cabaran besar kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri pelancongan negara.

Namun, beliau percaya di sebalik usaha menamatkan wabak Covid-19 ini, peluang masih terbuka untuk kita memperbaiki kelemahan yang ada melalui peningkatan kualiti perkhidmatan serta mutu penyampaian.

Usaha mengoptimumkan penggunaan teknologi yang canggih dan fleksibel seperti penggunaan konferensi video dan transaksi tanpa sentuhan membolehkan kita membudayakan norma baharu tanpa menjejaskan potensi industri pelancongan.

”Saya percaya, di peringkat awal ini kita boleh menjana semula industri pelancongan negara semula dengan merancakkan aktiviti pelancongan domestik, sementara sempadan masih ditutup dan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong di dalam negara,” katanya ketika melancarkan DPN 2020-2030 di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pembangunan industri pelancongan yang berasaskan teknologi digital adalah penting bagi memastikan objektif dasar ini dapat dicapai.

Tambahan pula, kemajuan teknologi juga dapat mengukuhkan jaringan antara industri serta membuka jalan bagi sub-sektor inovatif baharu dalam industri pelancongan yang akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan.

Dengan ini, pelaburan pelancongan yang berpusatkan teknologi adalah digalakkan.

Muhyiddin menambah, melalui DPN ini, Malaysia akan mewujudkan Zon Pelaburan Untuk Projek Pelancongan bagi meningkatkan kerjasama awam-swasta serta menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa.

Di samping itu, kerajaan juga akan mengimbangi pembangunan serta pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara termasuk alam sekitar, budaya dan warisan, selaras dengan matlamat untuk menjenamakan Malaysia sebagai Top of The Mind Ecotourism Destination of the World.

Jelasnya, kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi baharu di samping mewujudkan peluang pekerja

“Selain menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan pembangunan produk pelancongan sentiasa mampan, berdaya saing dan inklusif seperti yang dinyatakan dalam DPN, usaha ini juga adalah selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya sambil melahirkan harapan teras strategi itu mendapat sokongan semua pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here