Isu kartel daging: SPRM panggil 27 saksi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai lapan suspek sejak 4 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan seramai 27 saksi juga telah dipanggil dalam siasatan kes tersebut terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan.

“SPRM menyiasat kes berkenaan mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen.

 “Buat masa ini, SPRM masih aktif menjalankan siasatan dengan menganalisis maklumat, pengumpulan bukti-bukti serta akan membuat beberapa lagi tangkapan bagi melengkapkan siasatan,” jelasnya.

Semalam, SPRM Johor telah menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru dan suspek direman selama enam hari bermula hari ini selepas permohonan reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Sebelum ini, SPRM Johor dilapor menahan seorang ejen penghantaran berusia 55 tahun dan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor yang berusia 27 dan 31 tahun.

Pada 21 Disember lalu, media melaporkan wujudnya kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui halal dan kualitinya.

Kartel itu dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan ‘melepaskan’ barangan yang diimport tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here