MB Selangor akui perbincangan bersama Menteri Kesihatan ‘sangat melegakan’

Selepas berterusan mencatatkan kes harian tertinggi, Selangor akhirnya bersemuka dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu pertemuan dengan Adham dan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) itu sangat produktif.

Amirudin bersyukur perbincangan bersama melibatkan pasukan kesihatan negeri dengan KKM itu bakal melancarkan gerak kerja pengurusan pandemik Covid-19 di Selangor.

 “Di sebalik ‘doom and gloom’ (perasaan tidak mempunyai harapan) yang biasa kita dengar apabila dihadapkan dengan angka-angka jangkitan yang meningkat, ternyata perbincangan bersama YB Menteri sangat melegakan,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, pertemuan tersebut memberi harapan yang terbentang luas untuk kerajaan negeri dan KKM bersama-sama memberikan yang terbaik buat Selangor dan Malaysia.

“Banyak yang sempat dibincangkan dalam rangka masa hampir dua jam, daripada sebesar-besar isu vaksin dan Pusat Transit Sementara (PTS) membawa ke isu pewartaan, termasuk isu-isu lain seperti perkongsian data dan kerjasama melalui agensi kerajaan negeri.

“Insya-Allah, berkat kerjasama dan persetujuan YB Menteri dan pasukannya, kita akan umumkan beberapa kesepakatan yang kita berjaya capai hari ini -kemuncak kepada usahasama Persekutuan dan Negeri tanpa ‘working in silos’ (budaya kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri),” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here