Pertempuran meletus di Greece

Polis Greece berkata seorang anggotanya mengalami kecederaan serius di bahagian kepala ketika pertempuran meletus malam kelmarin dalam satu tunjuk perasaan melibatkan hampir  5,000 orang di Athens yang menentang keganasan polis.

Dua anggota lain juga cedera dalam demonstrasi itu, yang berlaku ekoran satu rakaman video tular menunjukkan seorang anggota polis memukul seorang lelaki dengan kayu Ahad lepas semasa satu rondaan untuk me-nguatkuasa perintah kawalan pergerakan COVID-19.

Seorang jurugambar AFP di tempat tunjuk perasaan kelmarin berkata, pertempuran meletus selepas sekumpulan sekitar 200 penunjuk perasaan bertopeng bergerak ke arah balai polis di Nea Smyrni, kawasan tenang di selatan pinggir Athens di mana insiden memukul Ahad lepas berlaku.

Tong sampah dibakar ketika penunjuk perasaan membaling batu dan bom buatan ke arah balai polis, lapor AFP. Polis membalas dengan melepaskan gas pemedih mata dan semburan air.

Tunjuk perasaan menyusul selepas berbulan-bulan kemarahan dalam media Greece dan di kalangan aktivitis mengenai beberapa kes berprofil tinggi melibatkan dakwaan kekejaman polis terhadap penunjuk perasaan dari kalangan pelajar dan golongan berhaluan  kiri.

Polis berkata anggota polis yang cedera teruk, ditolak dari motosikalnya dan dipukul oleh penunjuk perasaan. Dia kemudian dikejarkan ke hospital dan agensi berita ANA melaporkan nyawanya tidak terancam.

Sepuluh penunjuk perasaan telah ditahan, kata polis.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis, meminta orang ramai untuk memastikan “imej sedih keganasan yang kita lihat di Athens malam ini adalah yang terakhir”.

“Saya tidak akan membenarkan sesiapa memecah belah kita,” katanya ketika pembangkang berhaluan kiri, Parti Syriza, mengutuk “mereka yang mencemarkan tunjuk perasaan aman” dengan me-nukarkannya  menjadi ganas.

Menurut polis, sekitar 5,000 orang menyertai tunjuk pe-rasaan kelmarin membantah kekejaman polis, beberapa orang membawa sepanduk bertulis “polis keluar dari kejiranan kami” dan “taman untuk berlibur, bukan untuk mendengar ungkapan ‘saya dalam kesakitan’”.

Ungkapan di atas merujuk rakaman video tular menunjukkan seorang pemuda menjerit ‘saya dalam kesakitan’ ketika dia dipukul Ahad lepas di Medan Nea Smyrni, sebuah kawasan popular untuk ke- luarga berkumpul. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here