EXCO: MySEL bantu selesai 445 kes mohon warganegara

Sebanyak 445 isu kewarganegaraan melibatkan perkahwinan antara warga tempatan dan asing berjaya diselesaikan unit khas Kerajaan Negeri, MySEL sehingga 11 Mac lalu.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata jumlah itu membabitkan empat kategori kes meliputi warganegara (267), anak angkat (88), sijil kelahiran (32) dan kad pengenalan merah (58).

Menurutnya, kelulusan permohonan tertinggi diberikan kepada kaum Melayu dengan 50 peratus, Cina (25 peratus), India (15 peratus) dan lain-lain (10 peratus).

“Sejak program pusat dokumen pengenalan diri diperkenal pada 2018, sebanyak 2,554 kes dibuka berdasarkan kategori tersebut termasuk (kes) imigresen dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya melantik dua pegawai khusus bagi mengendalikan program tersebut dengan memastikan setiap permohonan dikemukakan kepada agensi dan jabatan berkaitan adalah lengkap serta teratur.

“Mereka (pegawai) tiada sebarang kuasa diberikan kerajaan pusat (meluluskan permohonan) sebaliknya mereka bergerak dengan kuasa kecil dan elaun daripada saya. Mereka juga perlu melalui proses sama seperti individu lain.

“Namun, atas semangat dedikasi, mereka bawa kes berkaitan ke Jabatan Pendaftaran Negara, Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri selain sentiasa membuat kemas kini bersama pihak terbabit sehingga kes selesai,” katanya.

MySEL diwujudkan bagi membantu golongan miskin yang tidak mempunyai pengetahuan dan saluran betul membuat permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Pegawai MySEL juga berperanan menyelesaikan masalah anak tidak memiliki surat beranak disebabkan sindiket perkahwinan di sempadan termasuk kegagalan ibu bapa mendaftar kelahiran anak mereka atas perkara tertentu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here