Kapal Tangki nelayan asing ditahan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan dua kapal asing bersama 12 kru kerana menceroboh perairan negara dalam dua kejadian berasingan.

Pengarah APMM Kelantan Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, penahanan pertama dilakukan semasa penugasan Ops Kuda Laut melibatkan sebuah kapal tangki yang disyaki dari Thailand kira-kira 110 batu nautika dari muara Tok Bali pada jam 8.08 pagi.

“Kapal bersama lapan kru termasuk master yang berumur antara 18 hingga 60 tahun itu kemudian dibawa balik ke Jeti Maritim Negeri Kelantan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Tok Bali, di sini.

Muhd Nur Syam berkata, kapal tangki tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM200,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhd Nur Syam berkata, siasatan juga akan dibuat untuk menentukan sama ada kapal tangki itu menjadi ‘feeder’ kepada bot-bot nelayan asing dari Vietnam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penahanan kedua melibatkan sebuah bot nelayan Vietnam bersama empat kru berumur antara 28 hingga 36 tahun yang disyaki menangkap gamat kira-kira 45.1 batu nautika dari Muara Tok Bali pada jam 12.30 tengah hari, Jumaat lepas.

Beliau berkata, bot nelayan asing akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 setiap kru kerana melakukan aktiviti perikanan di perairan negara tanpa kebenaran.

“Nilai keseluruhan kedua-dua kapal itu termasuk bekalan diesel dan hasil gamat dianggarkan berjumlah lebih RM1.6 juta.

“Selain itu, kesemua 12 tahanan berkenaan akan didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh didenda RM10,000 atau penjara dalam tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan,” katanya.

Muhd Nur Syam berkata, pihaknya akan terus mengadakan rondaan di perairan negara kerana percaya masih banyak bot asing cuba mengambil kesempatan untuk menceroboh dan mengaut kekayaan hasil laut terutama dalam tempoh penularan COVID-19. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here