Polis Nilai Tumpas Sindiket Curi Elektrik, Rampas Mesin Perlombongan Bitcoin 1.6 Juta

Polis menumpaskan sindiket mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin, menerusi serbuan di sembilan premis di sekitar kawasan Nilai semalam melibatkan nilai rampasan RM1.6 juta.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata, operasi bersepadu dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan itu, menyerbu ke empat premis di Bandar Enstek dan lima di Bandar Baru Nilai dengan merampas 581 unit mesin perlombongan bitcoin.

Berikutan itu, TNB turut mengalami kerugian sebanyak RM2.1 juta akibat aktiviti haram yang dijalankan hampir setahun.

 “Hasil soal siasat terhadap suspek, mereka mengaku sebagai juru teknik dalam salah satu premis diserbu itu. Ketika serbuan, mereka sedang memeriksa dan membuat penyelenggaraan ke atas mesin perlombongan bitcoin,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini menggunakan premis tingkat atas sebagai kegiatan perlombongan bitcoin bagi mengelakkan disedari pihak berkuasa.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, 427 Kanun Keseksaan, dan Seksyen di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here