NIKE batalkan tajaan Allyson Felix

Usain Bolt antara atlet yang paling terkenal dan diakui sebagai atlet yang amat berbakat. Dulu, namanya seringkali dipuja-puja, khususnya dalam acara balapan. Apa taknya, banyak jugak rekod dunia tercipta atas namanya tu. Dia menjadi sorang legenda sukan yang takde galang ganti dan direbut oleh bermacam-macam syarikat jenama sukan.

Namun begitu, betul lah apa yang orang kata; rekod memang dicipta untuk dipecahkan. Kita sentiasa mengalu-alukan orang nak terus cipta rekod baharu, mencabar batasan catatan rekod yang boleh dihasilkan oleh sorang manusia. Pada 2019, salah satu rekod Usain Bolt dah dipecahkan… oleh sorang ahli sukan wanita. Tetapi banyak jugak ranjau duri yang terpaksa ditempuhi wanita ni, sehinggakan dia terpaksa gaduh dengan Nike sebelum berjaya pecahkan rekod Usain Bolt.

Allyson Felix baru berumur 33 tahun ketika dia berjaya memenangi pingat emas dalam acara 4×400 balapan campuran, meletakkan kutipan pingatnya menjadi 12 pingat emas sepanjang berlangsungnya World Athletics Championships di Qatar. Kutipan pingat tersebut memecahkan rekod awal Usain Bolt iaitu 11 pingat emas yang diraihnya pada 2013. Ditambah lagi, ni adalah kemunculan pertama oleh Allyson Felix lepas melahirkan anak perempuannya, Camryn. Sorang ibu yang baru je habis bersalin, dan kutip pingat emas terbanyak dalam satu pertandingan? Tu suatu kejayaan besar yang perlu kita jadikan bukti sekiranya ada orang nak tunjuk wanita ni tak boleh berjaya lepas melahirkan anak.

Bukti yang kami maksudkan tak boleh difikirkan sebagai “wanita lebih baik dari lelaki”. Perbandingan macam tu tak wajar, sebab kita sepatutnya dicipta bukan untuk bersaing sesama jantina. Malah, kita sepatutnya bersama-sama melindungi satu sama lain dan bertanggungjawab untuk mengangkat martabat satu sama lain jugak. Kisah Allyson Felix yang memecahkan rekod Usain Bolt turut tak boleh dijadikan sandaran nak tunjuk wanita lebih hebat. Sebaliknya, kita nak tunjuk bahawa wanita mampu capai apa yang ramai ingatkan hanya lelaki je layak capai dan boleh capai.

Lebih mengejutkan, fikiran ni sedikit sebanyak terserlah dalam pembentukan polisi kontrak tajaan Nike. Walaupun Nike sememangnya rajin taja para atlet dunia, ia jugak tak kebal dari kritikan dan sikap prejudis terhadap atlet wanita. Cabaran ni dilalui oleh Allyson Felix sendiri, yang mana dia terpaksa gaduh dengan Nike untuk mengekalkan bayaran tajaan asalnya. Rupa-rupanya dalam klausa kontrak yang disediakan oleh Nike kepada para atlet wanita, diorang mungkin boleh tarik tajaan sekiranya atlet tersebut mengandung. Alasan diorang, bila atlet wanita tu mengandung… kemampuan atlet tersebut akan merundum.

Dalan kes Allyson Felix ni, Nike suruh dia ambil je gaji tajaannya yang dah dipotong sebanyak 70% lepas jadi sorang ibu dan secara kontraknya membolehkan Nike ‘hukum’ Allyson Felix andainya prestasinya tak bagus. Benda ni dibongkarkan sendiri dalam sebuah artikel yang dikarangnya sendiri, lalu disiarkan dalam New York Times.

Dalam artikel yang tersiar tu, Allyson mendedahkan betapa teruknya keadaan atlet wanita kena layan lepas berkahwin dan mengandung. Kalau lepas ni korang masih rasa benda ni mengarut dan tak layak untuk dibincangkan, mungkin korang pun kena pertimbangkan semula bagaimana industri melayan kaum wanita yang biasa-biasa dan tak terkenal macam Allyson Felix, juara balapan dunia.

Allyson Felix bukanlah satu-satunya atlet wanita yang terkena benda macam ni. Ramai je lagi yang menerima akibat ‘mengejar impian’ peribadi, tapi tak ramai berani tampil. Semua atlet wanita tau bahawa bila nak mulakan keluarga, apatah lagi mengandung… ia boleh jadi pengakhiran kerjaya diorang. Risiko ni dia tanggung je, memandangkan dia dah sedia nak bina kehidupan peribadinya. Nike dah tau, dan siap-siap nak ke meja rundingan untuk paksa Allyson ambil je klausa-klausa untuk ‘melindungi’ reputasi Nike. Antaranya adalah potongan bayaran tajaan dan klausa khas yang membolehkan dia ‘dihukum’ kalau prestasi tak bagus semasa dan selepas mengandung.

Allyson Felix kata dia tak kisah sangat pasal klausa dan apa tanggapan Nike dengan potongan bayaran tajaan tu. Kalau Nike rasa begitu rendah nilai sorang juara dan pemegang 9 pingat emas kejohanan dunia (sebelum 2019), dia tak kisah. Yang dia pedulikan adalah nasib atlet wanita di masa depan. Satu-satunya alasan dia masih lagi bersama dengan Nike adalah dia percaya kepada prinsip Nike yang kononnya nak memotivasikan remaja wanita untuk terus memajukan masyarakat seluruh dunia. Alasan ni diberikan sewaktu dia bertemu dengan sorang pegawai syarikat tersebut pada tahun 2010. Sejak tu, dia setia dengan Nike… walaupun dia tau, dia boleh je dapat lebih banyak wang kat tempat lain.

Oleh sebab tu jugaklah, dia secara terbuka mengaku kecewa dengan Nike serta syarikat-syarikat industri pakaian lain. Diorang dilihat cuma gunakan atlet wanita ni bila kena dengan cara diorang nak tarik perhatian pembeli je. Kalau betul syarikat-syarikat ni percaya kepada usaha pemberdayaan wanita, sekurangnya tak payahlah nak ‘jual’ imej para atlet ni demi mencapai keuntungan dan cakap tak serupa bikin.

Lepas artikel ni tular dan dibaca ramai, syarikat jenama lain seperti Burton, Altra, Nuun dan Brooks antara pertama yang ke hadapan untuk umumkan bahawa diorang dah buat kontrak baharu yang menjamin para atlet wanita masih akan dibayar gaji tajaan diorang semasa dan selepas mengandung. Beberapa hari lepas tu pulak, barulah Nike kata diorang pun nak jugak buat kontrak baharu untuk atlet wanita. Tetapi setakat tu je lah syarikat-syarikat yang sanggup. Yang lain mungkin masih lagi rasa atlet wanita takkan ada prestasi yang baik lepas berkeluarga.

Jika dilihat dari gambaran yang lebih besar, isu ni sebenarnya ada kaitan dengan bagaimana industri melayan aktor-aktor yang diorang bayar. Kalau dalam industri biasa, biasanya hubungan antara syarikat atau majikan dan para pekerja yang digajikan. Manakala dalam industri sukan ni, hubungan antara syarikat tajaan dan para atlet yang diorang taja demi memasarkan produk sukan diorang.

Polisi kekeluargaan amat penting, kerana ia merupakan sebahagian daripada fitrah dan hak penting seseorang manusia. Walaupun begitu, syarikat besar macam Nike sendiri pun masih tak begitu prihatin dengan polisi-polisi kekeluargaan khususnya polisi materniti. Sikap prejudis dan tak percaya kepada profesionalisme menjadi dasar kepada kemelut kontrak tu, walhal diorang tau je diorang sedang berunding dengan orang-orang dewasa. Bukan kanak-kanak mahupun belia tak matang.

Polisi paterniti pun antara hak yang patut diberikan kepada kaum lelaki. Kat negara lain, banyak je yang membenarkan sesebuah syarikat memberikan polisi paterniti dan materniti ni kepada para pekerjanya. Tinggal syarikat tu je lagi nak buat atau tak. Di Malaysia, polisi materniti masih lagi suatu norma yang belum begitu diterimapakai meskipun semakin banyak syarikat yang menerapkan polisi materniti dalam kontrak tersebut. Pada 2019, Women’s Aid Organisation (WAO) dah kemukakan petisyen untuk polisi paterniti pulak dan berharap menjadi langkah pemula ke arah perjuangan nakkan polisi paterniti untuk kaum bapa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here