500 petugas kesihatan digerakkan ke Sarawak

Kira-kira 500 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dimobilisasi ke Sarawak dalam masa terdekat ini bagi membantu negeri itu mengekang peningkatan kes COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Beliau berkata mobilisasi itu melibatkan kakitangan KKM dari negeri dan bahagian lain di Sarawak yang berada dalam zon hijau merangkumi doktor, jururawat, pembantu perubatan, pegawai makmal, radiologi dan mereka yang melakukan ujian pantas di lapangan.

“Apabila kita melakukan pengesanan kontak di kawasan pedalaman tempat wabak itu tercetus, kita memerlukan ramai kakitangan untuk membuat aktiviti saringan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt) di Sarawak, Dr Adham berkata pada hari ini ia telah meningkat kepada 1.1 berbanding 1.08 pada semalam.

“Untuk Sarawak, kita telah beri jaminan memandangkan Rt 1.1, bermakna untuk Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini, ia (pengagihan vaksin) perlu diberi pertimbangan yang lebih serius bagi melindungi semua rakyat,” katanya.

Dr Adham berkata berdasarkan pemantauan dan analisis yang dijalankan setakat ini, terdapat trend peningkatan kes harian COVID-19 di Sarawak, bermula pada 9 Jan lepas.

Berhubung lawatan di stadium berkenaan, Dr Adham berkata Sarawak sudah mara setapak lagi apabila sudahpun melaksanakan ‘Mass vaccination Centre’, walaupun dalam fasa pertama, pihaknya hanya menggunakan pusat pemberian vaksin.

“Ini perkembangan yang sihat dan menunjukkan persedian Sarawak lengkap dan mampu untuk memberi vaksinasi sehingga 40,000 orang sehari dalam negeri ini,” katanya,

Mengenai pemberian vaksin kepada media, Dr Adham menegaskan Jawatakuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin telah memutuskan untuk memberikan vaksinasi kepada petugas media yang dikategorikan sebagai barisan hadapan dalam Fasa Kedua.

“Kita akan memberi vaksinasi kepada mereka (media) yang betul-betul berada di barisan hadapan…yang selalu berhadapan dengan keadaan (berisiko) di mana berlakunya penularan wabak COVID-19,” katanya.

Terdahulu Dr Adham bersama-sama rombongan KKM membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here