Chelsea leburkan impian City buru empat kejuaraan

Chelsea menamatkan impian Manchester City memburu empat kejuaraan dalam satu musim apabila gol Hakim Ziyech memastikan kemenangan 1-0 untuk membawa Chelsea ke final Piala FA Inggeris pada Sabtu.

Hari mengecewakan buat City juga menyaksikan bintang utamanya, Kevin De Bruyne terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan buku lali, beberapa minggu sebelum final Piala Liga Inggeris di mana mereka akan menentang Tottenham Hotspur dan juga perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Paris Saint Germain (PSG).

Chelsea berada di landasan untuk satu lagi kemenangan memberangsangkan di bawah kendalian Thomas Tuchel dan akan menjadi pilihan untuk memenangi kejuaraan pertama beliau dalam bola sepak Inggeris apabila bertemu sama ada Leicester City atau Southampton di final pada 15 Mei depan.

“Ia adalah aksi yang bagus, saya berasa sangat gembira dan bangga,” kata Tuchel, yang hanya  tewas dua kali dalam 19 perlawanan sejak menggantikan Frank Lampard sebagai pengurus pada bulan Januari lepas.”

“Kami mengambil peluang untuk menunjukkan aksi di tahap tertinggi dan melihat bagaimana kedudukan kami. Anda hanya boleh menang menentang City jika semua pemain berada di tahap tertinggi.”

Tuchel juga mungkin boleh memenangi kejuaraan lebih besar dalam Liga Juara-Juara menjelang akhir lima bulan pertama beliau sebagai pengurus.

Chelsea dan City mungkin akan bertemu sekali lagi di final Liga Juara-Juara di Istanbul bulan hadapan jika kedua-dua pasukan menewaskan Real Madrid dan PSG di separuh akhir kejohanan dan anak buah Tuchel juga membuktikan mereka boleh mengatasi City walaupun ketinggalan 20 mata dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris.

Buruan empat kejuaraan City ternyata memberi kesan dengan pengurusnya, Pep Guardiola melakukan lapan pertukaran dari skuad yang menewaskan Borussia Dortmund pada pertengahan minggu dengan penjaring gol, Phil Foden dan Riyad Mahrez adalah antara pemain yang direhatkan.

Pertukaran itu jelas menjejaskan rentak City dan Chelsea mengambil peluang dengan memulakan permainan dengan memberangsangkan.

Hantaran Timo Werner disempurnakan Ziyech seawal minit keenam tetapi gol itu tidak dibenarkan kerana ofsaid.

City menamatkan separuh masa pertama tanpa mencemaskan pertahanan Chelsea tetapi mereka mengalami kekecewaan pertama dalam usaha memburu empat kejuaraan pada awal separuh masa kedua apabila De Bruyne mengalami kecederaan ketika diasak N’Golo Kante dan digantikan dengan Foden.

“Ia tidak kelihatan bagus, beliau mengalami kesakitan,” kata Guardiola. “Esok kami akan melakukan pemeriksaan lanjut.”

City masih cuba menyesuaikan diri dari kehilangan De Bruyne apabila mereka tersentak dengan serangan pantas Chelsea.

Keputusan Guardiola mengekalkan Zack Steffen di pintu gol untuk pertandingan piala domestik membawa padah apabila penjaga gol dari Amerika Syarikat (AS) itu terlalu awal keluar dari posisinya apabila Werner mengumpan bola kepada Ziyech untuk melakukan penyudah kemas.

Steffen bagaimanapun menebus kesilapan awalnya apabila menafikan Ziyech gol kedua.

City mengambil masa sehingga 20 minit terakhir untuk benar-benar menguji pertahanan Chelsea dengan peluang terbaik untuk membawa permainan ke masa tambahan hadir apabila tandukan Ruben Dias sedikit tersasar.

Chelsea berjaya menjaringkan gol pada minit kecederaan menerusi cubaan Christian Pulisic tetapi gol itu tidak dibenarkan kerana ofsaid.

Tetapi harapan City mencipta sejarah sebagai pasukan pertama di England yang memenangi empat kejuaraan dalam satu musim berkecai namun mereka boleh mengulangi kejayaan Manchester United memenangi tiga kejuaraan – Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada musim 1998/1999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here