Pembukaan Sempadan Johor-Singapura Jun Ini, Semoga Ada Berita Gembira – Hasni

Kerajaan negeri akan mempertingkatkan usaha untuk memastikan bulan Jun ini, pembukaan sempadan antara Johor dan Singapura akan dapat dilaksanakan.

Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, pada awal bulan Mei ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien bagi membincangkan perkara ini.

“Berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pula, ia akan dibentangkan kepada kerajaan persekutuan untuk di bawa ke dalam mesyuarat tersebut bagi memberi keyakinan kepada republik berkenaan.

“Kita jadikan bulan Jun sebagai sasaran dan berharap akan mendapat keputusan yang positif hasil daripada mesyuarat antara Perdana Menteri dan Perdana Menteri Singapura pada 3 Mei ini yang mana saya dimaklumkan mereka akan berbincang dengan lebih lanjut berkenaan pembukaan semula sempadan negara,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas melancarkan permulaan Program MEKAR: Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak & Remaja Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam.

Tambah beliau, SOP pergerakan adalah terhad sama seperti kebenaran yang diberikan kepada para pemandu lori yang mendapat kelulusan untuk memasuki Singapura secara harian.

“Tidak perlu ada perbezaan kerana pemandu lori kita yang dibenarkan untuk memasuki Singapura setiap hari juga datang dari Malaysia dan dari negeri ini.

“Mereka dibenarkan untuk ke Singapura secara harian dari titik lokasi yang spesifik di mana jika mahu bekerja, mereka cuma boleh bergerak dari titik A ke titik B sahaja yang mana saya rasa perkara yang sama boleh dipertimbangkan untuk para pekerja lain juga,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebagai permulaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bersetuju untuk memperuntukkan 100,000 vaksin khusus untuk para pekerja yang berulang-alik antara kedua-dua buah negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here