City ditewaskan Chelsea 2-1 tangguh hasrat untuk berpesta

Chelsea memaksa Manchester City menangguhkan pesta meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila menang 2-1 pada Sabtu untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam empat tangga teratas liga sementara Liverpool juga menghidupkan kembali impian kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Kemenangan buat City akan mengesahkan mereka selaku juara Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga dalam empat tahun tetapi mereka bagaimanapun terpaksa menunggu beberapa hari lagi untuk mengesahkan kejuaraan.

Beratus-ratus penyokong City berkumpul di luar Stadium Etihad dengan harapan untuk mula meraikan kejuaraan namun semuanya tidak berlaku pada akhir permainan.

City diambang memulakan pesta kejuaraan buat penyokong apabila Raheem Sterling membuka jaringan sebelum Hakim Ziyech mengikat kedudukan dalam separuh masa kedua dan Marcos Alonso menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan.

Sergio Aguero boleh mematahkan semangat Chelsea lebih awal apabila mengambil sepakan penalti tetapi tendangan licik beliau berjaya diselamatkan penjaga gol Edouard Mendy.

Kemenangan melonjak Chelsea ke tangga  ketiga liga,  memintas Leicester dengan kelebihan satu mata dan enam mata di  hadapan pasukan di  tangga kelima, West  Ham United dengan baki tiga perlawanan sahaja lagi musim ini.

Liverpool menewaskan Southampton 2-0 untuk terus bersaing memburu empat tangga teratas  liga tetapi kekalahan 1-3 buat Tottenham Hotspur di Leeds United kelihatan menyukarkan lagi peluang untuk kelayakan ke Eropah.

Pengurus City, Pep Guardiola, berasa kecewa dengan cara kekalahan pasukannya – kekalahan kelima mereka musim ini walaupun memiliki kelebihan 13 mata di singgahsana liga berbanding pencabar terdekat, Manchester United.

“Kami mensia-siakan peluang pada minit terakhir sebelum rehat dengan tendangan penalti tetapi kami berada dalam kedudukan yang baik,” kata beliau.

“Kami bolos satu gol, terkesan selama 15 minit dan bangkit dengan baik  tetapi pada akhirnya mereka menjaringkan gol.”

Bercakap tentang tendangan penalti, Guardiola berkata: “Saya sentiasa berkata kepada beliau (Aguero), ambil satu keputusan dan lakukan dengan yakin, jadi beliau melakukan tendangan seperti itu. Saya tidak ada penjelasan lain.”

Chelsea menamatkan impian City untuk memburu empat  kejuaraan musim ini apabila menewaskan mereka pada perlawanan separuh akhir Piala FA Inggeris bulan lepas dan sekali lagi membuktikan bahawa mereka adalah lawan yang sukar.

Guardiola melakukan sembilan pertukaran dari skuad yang menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) di separuh akhir Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu sementara Chelsea melakukan lima pertukaran dari skuad yang mengenepikan Real Madrid pada  kejohanan yang sama.

Sterling membuka jaringan tidak lama sebelum rehat apabila merembat bola dari umpanan Gabriel Jesus selepas Aguero gagal menahan bola dengan kemas.

City boleh mendahului 2-0 sebelum rehat selepas Jesus dikasari dalam kotak penalti oleh Billy Gilmour tetapi Aguero mensia-siakan peluang apabila melakukan tendangan helah lemah yang mudah diselamatkan Mendy.

Separuh masa kedua menyaksikan Chelsea mula menunjukkan penguasaan mereka dan berjaya mengikat kedudukan ke-63 apabila Ziyech menyempurnakan hantaran Cesar Azpilicueta.

Gol itu memastikan penamat yang mendebarkan untuk kedua-dua pasukan dengan Chelsea berjaya menjaringkan gol lebih awal menerusi rembatan Callum Hudson-Odoi tetapi gol tidak dibenarkan kerana ofsaid sebelum satu rayuan penalti Sterling tidak diendahkan pengadil.

Alonso akhirnya menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan selepas menerima umpanan Timo Werner untuk melengkapkan  kebangkitan tetapi City boleh juga mengesahkan kejuaraan mereka jika Aston Villa menewaskan Manchester United pada perlawanan lewat.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, mengakui perlawanan itu mungkin sedikit berbeza jika Aguero menyempurnakan penalti.

“Jika mereka menjaringkan penalti, ia mungkin sudah berakhir bagi kami – pada kedudukan 2-0, anda tidak mempunyai peluang cerah untuk bangkit semula,” kata beliau.

“Saya yakin dengan reaksi dan prestasi pemain dalam separuh masa kedua. Jika anda mahu membawa pulang tiga mata di sini selepas ketinggalan, anda memerlukan sedikit tuah serta keputusan baik dari pengadil.”

Pengurus Liverpool,  Jurgen Klopp, berasa gembira melihat pasukannya kembali meraih kemenangan selepas dua keputusan seri sebelum ini, dengan gol Sadio Mane dan Thiago Alcantara memastikan kemenangan di Anfield.

Bercakap tentang peluang pasukannya bersaing untuk empat tangga teratas, Klopp berkata: “Kami merasakan ia tidak mustahil tetapi ia sememangnya sukar. Kami akan cuba memberikan segala-galanya dan kita akan lihat apa yang berlaku pada akhir musim.”

Pada perlawanan awal, Crystal Palace menewaskan Sheffield United 2-0.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here