Neymar lanjutkan kontrak, PSG diikat 1-1

Neymar menjaringkan gol selepas menandatangani kontrak lanjutan tetapi Paris Saint Germain (PSG) diikat 1-1 di Rennes pada Ahad, sekali gus memberikan peluang lebih cerah kepada Lille untuk memenangi kejuaraan Ligue 1 Perancis.

PSG mendahului kedudukan pada masa rehat apabila Neymar menyempurnakan penalti kontroversi tetapi Serhou Guirassy menjaringkan gol penyamaan dalam separuh masa kedua.

Presnel Kimpembe dibuang padang selepas itu untuk PSG, yang gagal kembali meraih kemenangan dalam liga domestik sejak tersingkir di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara oleh Manchester City.

PSG kini kurang tiga mata di belakang pendahulu liga, Lille, yang  tahu mereka akan menjadi juara liga buat kali pertama sejak 2011 dengan memenangi empat mata dari baki dua perlawanan musim ini.

PSG sudah memenangi kejuaraan Ligue 1 pada tujuh dari lapan tahun terakhir tetapi mereka kelihatan kurang menyerlah musim ini dan keputusan menggantikan jurulatih Thomas Tuchel dengan Mauricio Pochettino pada pertengahan musim kelihatan satu keputusan yang memberi kesan yang tidak diingini.

 “Kami harus terus percaya sehingga ke akhirnya, kami tidak hilang keyakinan tetapi di PSG, kami perlu melakukan yang lebih bagus lagi,” kata kapten PSG, Marquinhos.

“Lille adalah pasukan yang sangat bagus dan memenangi setiap perlawanan. Kami mempunyai baki dua perlawanan dan kami perlu percaya, mengekalkan fokus dan bermain lebih bagus lagi.”

Lille membuka kelebihan empat mata di singgahsana liga apabila menewaskan Lens 3-0 pada Jumaat lepas.

Ia kelihatan PSG mampu memberikan respons walaupun bermain tanpa Kylian Mbappe yang digantung perlawanan dan Marco Verratti yang mengalami kecederaan.

Mereka dihadiahkan peluang pada minit akhir sebelum rehat apabila pengadil perlawanan memberikan penalti selepas menyemak semula rakaman insiden di mana pemain pertahanan Rennes, Nayef Aguerd cuba menghadang rembatan Layvin Kurzawa.

Neymar meraikan pengumuman melanjutkan kontrak di PSG sehingga 2025 dengan menyempurnakan penalti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here