Pakej Rangsangan Baru jika PKP 3.0 berpanjangan-Kerajaan Selangor

Kerajaan Negeri Selangor  tidak menolak kemungkinan membantu rakyat menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang baharu jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berterusan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata situasi semasa penularan Covid-19 turut diambil kira jika berlaku peningkatan kes mendadak di negeri ini.

“Ia bergantung kepada kadar jangka masa lama atau tidak Covid-19 atau PKP dilaksanakan.

“Namun PKP kali ini tidak seperti PKP 1.0 di mana kita tutup semua aktiviti ekonomi tetapi kali ini kita masih membenarkannya walaupun sekadar 30 peratus,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, kelmarin.

Sementara itu, Amirudin mengakui terdapat desakan daripada beberapa pihak yang meminta supaya menutup terus aktiviti ekonomi di Selangor.

Beliau berkata perkara itu berikutan keadaan kritikal terutama jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) yang menunjukkan peningkatan mendadak.

“Kejadian di tempat kerja sejak Februari hingga Mei juga tinggi antara 40 hingga 45 peratus, namun dalam lima ke enam hari ini kes terkawal sekitar 20 peratus,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here