Polis siasat anggota terima suapan benarkan kilang beroperasi

Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang pemilik akaun Twitter bahawa ada anggota polis menerima suapan bagi membenarkan sebuah kilang di Bestari Jaya beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan.

Menurut beliau, susulan dakwaan terbabit, pasukan polis dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Jabatan Tenaga Kerja telah menjalankan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada jam 3 petang Isnin.

“Hasil pemeriksaan terdapat kesalahan ketidakpatuhan SOP yang ditetapkan dan pihak pengurusan kilang telah diarahkan henti operasi kilang selama lima hari bermula Isnin berpandukan (Akta 342 ) Seksyen 18 (1)(F) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Sebelum ini seorang pemilik akaun Twitter memuat naik sekeping imej tangkap layar memaparkan dakwaan pihak polis menerima suapan bagi membenarkan sebuah kilang di Bestari Jaya beroperasi dalam tempoh PKP.

Kenyataan tersebut dipercayai telah dimuat naik pada kira-kira jam 11.16 tengah hari pada Sabtu lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here