SISWAZAH MENGANGGUR MENINGKAT KETARA PADA 2020

Petaling jaya, Jul 27-

Persekitaran ekonomi kurang memberangsangkan tahun lalu dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh menyebabkan bilangan siswazah menganggur meningkat ketara sebanyak 22.5% atau 37,200 kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 tahun sebelumnya, menurut Laporan Statistik Siswazah 2020.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, pertambahan itu dilihat bagi kedua-dua pemegang ijazah, iaitu peningkatan seramai 22,400 orang dan diploma (14,800 orang) dengan sebahagian besarnya dalam kalangan siswazah berumur 35 tahun ke atas.

Justeru katanya, kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik 0.5% kepada 4.4% berbanding 3.9% tahun sebelumnya.

“Selain itu, lebih 75% daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja dengan hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang tiga bulan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai gaji dan upah diterima oleh siswazah pada 2020 beliau berkata, purata gaji dan upah bulanan siswazah bagi pekerjaan utama sepenuh masa atau setaraf turun 10.6% kepada RM4,489 berbanding RM5,020 pada 2019, penurunan kali pertama dalam gaji dan upah sejak Laporan Survei Gaji dan Upah dikeluarkan pada 2010.

“Pemegang ijazah menerima purata gaji dan upah sebanyak RM5,471 sebulan pada 2020, berkurang 9.1% berbanding 2019 manakala pemegang diploma menerima purata sebanyak RM3,311, menyusut 11.5% pada tempoh sama.

“Dapat dilihat bahawa kategori mahir merekodkan pengurangan terbesar sebanyak 8.0% kepada RM5,316 sementara kategori separuh mahir menerima RM2,418, iaitu jatuh sebanyak 2.7% berbanding 2019,” katanya.

Menyentuh mengenai siswazah bekerja Uzir berkata, sebanyak 68.8% daripada 4.35 juta siswazah pada 2020 bekerja dalam kategori mahir, namun menyusut 0.8% berbanding 2019.

“Pengurangan dilihat dalam kategori pekerjaan profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kategori separuh mahir merekodkan peningkatan 19.3%, terutama dalam kategori pekerja perkhidmatan dan jualan; dan operator loji dan mesin serta pemasangan.

“Sehubungan itu, komposisi siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir meningkat kepada 28.9% berbanding 25.6% tahun sebelumnya manakala sebanyak 2.3% siswazah bekerja adalah dalam kategori pekerjaan berkemahiran rendah,” katanya.

Laporan Statistik Siswazah 2020 memperihal keseluruhan penawaran buruh siswazah pada 2020 mengikut ciri demografi dan sosioekonomi.

Siswazah dalam laporan ini ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here