Kementerian Kesihatan melaporkan 15,764 kes baharu Covid-19, dengan rekod baharu 1,063 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 219 kematian.
Rekod terdahulu ialah 207 kematian yang dicatatkan pada 26 dan 27 Julai lalu, manakala 1,043 pesakit di ICU pada 29 Julai lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 11,767 pesakit sembuh, menjadikan keseluruhan 937,732 daripada 1,146,186 pesakit Covid-19 sudah pulih, manakala 9,403 orang meninggal dunia.
Beliau berkata, terdapat 199,051 kes aktif, dengan 532 daripada 1,063 pesakit di ICU memerlukan bantuan pernafasan. Katanya, Selangor terus mencatatkan jangkitan harian tertinggi, iaitu 6,067 kes.
Ia diikuti Kuala Lumpur (1,536), Johor (1,222), Sabah (1,166), Kedah (1,108), Negeri Sembilan (862), Perak (748), Pulau Pinang (667), Kelantan (552), Pahang (475), Melaka (463), Terengganu (425), Sarawak (411), Putrajaya (46), Perlis (sembilan) dan Labuan (tujuh).