‘SAYA BERHARAP MENJADI PENYUMBANG MATA BAGI PASUKAN MALAYSIA’-KISONA

Petaling Jaya, Sept 18-

Bukan sekadar menjadi pelengkap pasukan, S. Kisona sebaliknya berikrar untuk menjadi penyumbang mata kepada Malaysia dalam acara perseorangan wanita apabila bersaing pada kejohanan badminton Piala Sudirman di Vantaa pada 26 September hingga 3 Oktober ini.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 menjadi sandaran utama dalam acara perseorangan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk tidak membawa pemain profesional, Soniia Cheah.

Kisona yang berada pada ranking ke-53 percaya, dia mampu melakar kejutan di kejohanan itu.

 “Pada saingan Piala Sudirman kali ini, saya diletakkan sebagai perseorangan wanita utama dan saya sedar tanggungjawab yang dipikul itu sangat berat, lebih-lebih dalam kejohanan besar seperti ini.

“Sudah tentu tekanan itu sangat tinggi tetapi saya tidak mahu cepat mengalah dan akan cuba usahakan yang terbaik untuk negara. Saya harap boleh menjadi penyumbang mata buat pasukan Malaysia,” katanya.

BAM mempertaruhkan barisan pemain muda negara dalam kejohanan itu dengan perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia akan mengetuai cabaran pasukan dengan suku akhir menjadi sasaran utama Malaysia di kejohanan itu.

“Sasaran yang diletakkan BAM itu kami jadikan ia sebagai motivasi apabila masuk ke dalam gelanggang nanti. Saya yakin ia dapat bantu kami untuk kerah segala keringat apabila berdepan pemain lawan.

“Selain itu, saya percaya Zii Jia dan Aaron Chia- Soh Wooi Yik dapat bantu pasukan dari segi moral kerana mereka boleh dianggap senior dalam pasukan. Bagaimanapun, pemain-pemain lain juga ada peranan masing-masing,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here