Malaysia menerima sumbangan lebih daripada 2.9 juta dos vaksin Covid-19

Malaysia menerima sumbangan lebih 2.9 juta dos vaksin Covid-19 daripada empat negara menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Adham Baba. Beliau berkata, sumbangan itu memanfaatkan kira-kira 1.4 juta penerima. Sumbangan berkenaan diterima daripada Jepun (AstraZeneca, 998,400), Amerika Syarikat (Pfizer, 1,000,350), China (Sinovac, 500,000) dan United Kingdom (AstraZeneca, 415,040), katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen Malaysia.

Beliau menjawab pertanyaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah dos diperoleh secara derma daripada negara luar dan adakah vaksin itu dijual kepada mana-mana pihak. Menjelaskan perkara itu, Adham berkata, kerajaan tidak menjual sumbangan vaksin yang diterima memandangkan Malaysia terikat dengan perjanjian antara negara penyumbang yang tidak membenarkan sebarang penjualan kepada pihak ketiga.

Sementara itu, menjawab pertanyaan berasingan daripada Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai perolehan vaksin, Adham berkata, kerajaan mengadakan rundingan perolehan sebanyak 87.89 juta dos bagi keseluruhan penduduk Malaysia termasuk stok penimbal setakat September. Sehingga 19 September, jumlah bekalan vaksin yang diterima secara kumulatif adalah sebanyak 49.7 juta daripada keseluruhan perolehan dos vaksin tanpa mengambil kira perolehan jenis Sputnik (Gamaleya) yang belum dimuktamadkan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here