Anak SRK minta buku Sains ketika dalam tahanan

Mumbai: Buku Sains disediakan untuk anak bintang Bollywood Shah Rukh Khan yang kini masih direman Biro Kawalan Narkotik (NCB) selepas ditahan susulan serbuan kes dadah di sebuah kapal persiaran, kata sumber. Aryan Khan meminta buku berkenaan ketika dia masih dalam tahanan reman sehingga esok. Lelaki itu bersama tahanan lain turut dijamu setiap hari di sebuah restoran makanan India berhampiran ibu pejabat NCB kerana masakan luar tidak dibenarkan dibawa masuk.

Sementara itu, telefon bimbit Aryan dan tahanan lain sudah dihantar ke makmal forensik di Gandhi Nagar. Pada Selasa, NCB menahan empat lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan serbuan kes dadah di sebuah kapal persiaran itu. Empat suspek itu bekerja di sebuah syarikat pengurusan acara di New Delhi. Mahkamah Majistret Esplanade di Mumbai mengeluarkan perintah reman sehingga 11 Oktober terhadap empat suspek dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Sebelum ini, Aryan, 23, ditahan polis India dalam satu serbuan dadah di atas kapal persiaran dekat ini.

Dia bersama tujuh lagi individu ditahan oleh anggota polis NCB yang melakukan penyamaran menjalankan serbuan di atas Cordelia, ketika kapal itu berlayar menuju ke Goa. Semua suspek ditahan kerana dipercayai terbabit menggunakan, membeli dan menjual bahan terlarang, kata pegawai polis Vishwa Vijay Singh. Pegawai NCB mendakwa merampas sejumlah dadah termasuk MDMA, ekstasi, kokain, mephedrone dan ganja daripada suspek yang terdiri daripada dua pengedar dadah dari Delhi dan Haryana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here