Rempuh MPV polis, lelaki ada rekod jenayah cedera di muka, kepala

Ampang Jaya: Seorang penunggang motosikal cedera di muka dan kepala selepas merempuh MPV polis ketika cuba melarikan diri daripada ditahan di Jalan Lingkaran Tengah 2, Kampung Pasir, Ampang di sini, jam 11.40 malam semalam. Terdahulu, MPV berkenaan mengejar penunggang terbabit yang diminta berhenti untuk pemeriksaan namun tidak diendahkan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian, MPV itu sedang meronda di Sektor 10 membabitkan kawasan Taman Melawati. Anggota MPV Proton Preve terserempak dengan suspek yang menunggang Yamaha 135LC dalam keadaan mencurigakan.

Anggota MPV menyalakan lampu siren sebagai tanda amaran dan pada masa sama, mengarahkan penunggang untuk berhenti. Namun, suspek memecut dan menunggang dalam keadaan secara zig zag, katanya pada kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, anggota MPV mengekori suspek sejauh kira-kira 500 meter. Kata beliau, tiba tiba, suspek mengubah haluan dan merempuh bahagian kanan MPV. Akibatnya, suspek terjatuh di atas jalan dan cedera di muka serta kepala. Dia dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati, suspek memiliki tiga rekod lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, dua rekod dihukum dan satu rekod status ditangkap. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here