Sesi persekolahan SK Assumption ceria dalam sedih

Butterworth, Sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, di sini sedikit muram selepas berita penutupan sekolah akhir Februari ini mula tersebar sejak kelmarin. Bagaimanapun murid yang hadir tetap ceria dan bersemangat bertemu rakan.

Menurut Emi Saufiah Ahmad Malkan, 36, anaknya Muhammad Ammar Haziq Muhd Afiq, 8, tidak sabar ke sekolah untuk belajar secara bersemuka selepas sekian lama berada di rumah.

Namun dalam keceriaan ini terselit sedikit rasa sedih bila dapat tahu sekolah ini akan ditutup. Apa-apapun saya tunggu maklumat daripada pihak sekolah yang pada masa sama saya berharap ia tidak ditutup kerana sekolah ini dekat dengan rumah serta memudahkan kami menghantar anak katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, sekolah itu juga mempunyai kenangan istimewa apabila abangnya juga pernah bersekolah di situ.

“Tidak silap saya sekolah ini sudah berusia kira-kira 90 tahun dan abang saya yang kini berusia 40 tahun pernah sekolah di sini.

“Mana tak sedih bila dapat tahu sekolah ini akan ditutup, tambahan pula banyak kenangan keluarga kami dengan sekolah ini ,” ujarnya.

Sementara itu, Marziani Mahathir, 34, berkata, dia berharap dapat terus menghantar anaknya Muhammad Rayyan Mikail Mohd Rafie, 9, ke sekolah ini. Kami harap ada jalan penyelesaian berhubung isu ini kerana anak-anak di sini memang gembira bersekolah di sini disebabkan dekat dengan rumah.

Anak saya pun pagi tadi bangun awal untuk siapkan diri kerana sudah tidak sabar nak ke sekolah jumpa kawan-kawannya. Bila dapat tahu sekolah ini akan ditutup membuatkan saya sebagai ibu sedih katanya.

Sebelum ini beberapa media melaporkan sekolah itu bakal ditutup pada 28 Februari berikutan lesen sekolah akan dibatalkan kerana pemilik tanah persendirian (Sri Avenue Sdn Bhd) meminta tanah dan bangunan dikembalikan ‘secepat mungkin.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam mesyuarat yang diadakan kelmarin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here