Guru wanita diperdaya RM223,749

Tumpat: Guru wanita kerugian RM223,749 selepas ditipu sindiket yang menyamar sebagai wakil dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Mangsa berusia 58 tahun itu diperdaya kononnya memiliki tunggakan cukai dan terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram serta dadah menyebabkan waran tangkap ke atasnya akan dikeluarkan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, pada tengah hari 4 Februari lalu, wanita itu menerima panggilan daripada ‘pegawai LHDN’ memaklumkan dia memiliki tunggakan cukai kerana ada pihak menggunakan namanya untuk mendaftar syarikat di Kuantan, Pahang.

Panggilan itu kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan disoal siasat sebelum bercakap dengan ‘Inspektor Tahar’ dan wanita itu diberitahu terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram serta dadah dan waran tangkap ke atasnya akan dikeluarkan.

Beliau berkata, mangsa terus mengikut arahan dan mengisi maklumat akaun seperti nama, nombor kad pengenalan, jenis bank, kata laluan akaun, nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan tarikh mati kad. Katanya, lelaki itu meminta mangsa memindahkan wang dari akaun Maybank miliknya ke akaun Bank Rakyat sebelum ke mesin ATM untuk membuat transaksi sebanyak RM30,000 serta tambahan RM40,000 secara pindahan dalam talian.

Pada tengah hari Rabu lalu, wanita itu sekali lagi menerima panggilan dari pihak LHDN membuatkan dia mengesyaki kemungkinan sudah ditipu dan segera ke mesin ATM untuk memeriksa baki akaun Bank Islam sebelum mendapati sudah berkurangan sebanyak RM149.999. Pemeriksaan terhadap akaun Bank Rakyat miliknya berkurangan RM73,750 dan mangsa terus meminta kedua-dua bank untuk menyekat kedua-dua akaun itu dan membuat laporan di Balai Polis Tumpat semalam katanya.

Terdahulu, Mohd Azmir ditemui di Masjid Mukim Simpangan Hilir, di sini, ketika mengiringi Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menyampaikan 100 kotak makanan daripada kurniaan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra kepada penduduk selepas menunaikan solat Jumaat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here