12 lembu diseludup dengan perahu

Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 12 lembu bernilai RM67,200 yang cuba diseludup sekumpulan lelaki menggunakan perahu di Sungai Tok Rusa, Meranti, di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam kejadian jam 10 malam itu, anggota bertugas membuat intipan dan mendapati terdapat pergerakan perahu di sungai berkenaan yang dijalani sekumpulan lelaki.

Katanya, lelaki berkenaan sedang bergerak beberapa lembu ke tebing selepas membawa haiwan ternakan itu menyeberangi sungai terbabit.

Dalam keadaan sedia, anggota bertugas kemudian menghampiri mereka namun semua lelaki yang disyaki penyeludup melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran.

Pemeriksaan di tebing sungai menemui 12 lembu dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran dalam negara. Anggota menunggu selama satu jam, namun tiada individu yang datang menuntut.

Dengan dibantu anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), mereka merampas kesemua lembu terbabit bagi tujuan siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011. Azhari berkata, menyiasat semua lembu berkenaan dibawa untuk memenuhi permintaan daging sepanjang Ramadan.

Penyeludup menggunakan modus operandi membawa masuk lembu pada waktu malam bagi mengelak daripada pihak berkuasa dengan menarik haiwan ternakan itu menggunakan perahu menyeberangi sungai.

Biasanya ternakan ini ditempatkan dahulu di kawasan semak sebelum dipindahkan menggunakan lori. Kawasan penyeludupan juga sentiasa berubah-ubah bagi mengelak anggota bertugas, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here