Lima ‘along’ kena tahan

Kuala Lumpur: Polis menahan lima lelaki berumur 18 hingga 24 tahun kerana disyaki terlibat dalam pemberian pinjaman wang tanpa lesen, di sebuah bangunan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Menerusi Ops Vulture oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya itu, kesemua suspek ditahan kira-kira 4 petang, Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pengadu bagi kes itu adalah seorang warga tempatan berusia 46 tahun yang merupakan seorang pengarah syarikat swasta. Katanya, pengadu yang mempunyai masalah kewangan dalam membuat pusingan modal perniagaan sebelum ini telah membuat pinjaman dengan beberapa syarikat dalam talian, tanpa menyedari syarikat berkenaan adalah sindiket pemberi pinjaman tidak berlesen.

Pengadu telah meminjam sebanyak RM96,240 dan telah membuat pembayaran balik sebanyak RM100,895. Pengadu telah didesak dengan pelbagai ugutan supaya membayar balik bayaran pokok sebanyak RM72,000. Pengadu kemudiannya telah dihubungi oleh sindiket yang memperkenalkan diri daripada syarikat pinjaman wang berlesen telah membuat tawaran kepada pengadu untuk melangsaikan bayaran tertunggak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pengadu dalam keadaan terdesak dan takut telah menandatangani satu perjanjian peminjam wang untuk menyelesaikan pinjaman yang tertunggak dan pengadu perlu membayar balik sebanyak RM120,000. Akibat pengadu tidak mampu membayar, suspek telah menghantar orang ke rumah ibu pengadu. Pengadu telah diugut setiap hari oleh sindiket tersebut, katanya.

Menurutnya semakan mendapati tiga daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman selama empat hari manakala kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesan 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here