Dua beranak maut motosikal terbabas

Dua beranak maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 24, Jalan Bau-Stass dekat Bau,   penunggang motosikal iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun dan ibunya yang berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Bingkok John, berkata ketika kejadian mangsa Kendy Peters dan ibunya Juni Nyayoh, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Stass. Beliau berkata, setiba di lokasi kejadian, motosikal yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan melanggar pokok bunga.

Lokasi kejadian itu yang berselekoh serta menuruni bukit dipercayai menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal. Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal iaitu Kendy terhumban ke kawasan berumput, manakala ibunya yang membonceng tercampak ke dalam longkang konkrit, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bingkok berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Bau untuk tindakan lanjut. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here