5 INTERVENSI AWAL, RUNGKAI KEMELUT PEKERJA MYAIRLINE ALERT

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah menjalankan lima program intervensi awal, setakat hari ini untuk membantu merungkai kemelut dialami pekerja syarikat penerbangan, MYAirline.

Intervensi pertama diadakan melalui mesyuarat secara dalam talian bersama pengurusan sumber manusia syarikat penerbangan berkenaan pada 12 Oktober 2023, iaitu sejurus selepas MYAirline mengumumkan penggantungan operasi.

Bersandarkan maklumat mengenai situasi semasa pekerja syarikat penerbangan tambang murah itu, PERKESO kemudian bekerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) merencana usaha menyerap kakitangan MYAirline melalui temu duga bagi jawatan kru kabin, jurutera dan khidmat pelanggan pada 14 Oktober 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, ketika memperincikan perkembangan itu berkata dua lagi mesyuarat lanjutan iaitu secara dalam talian dan fizikal, masing-masing diadakan pada 18 serta 19 Oktober 2023.

“Mesyuarat membabitan pengurusan tertinggi MYAirline ini adalah untuk merangka program susulan yang perlu diadakan secepat mungkin, demi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup pekerja syarikat penerbangan ini terjamin.

“Justeru, hasil mesyuarat itu kemudian membawa kepada taklimat faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan pemprofilan pekerja oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan untuk kakitangan MYAirline bertempat di Subang Jaya, selama dua hari bermula 25 Oktober 2023.

“Menerusi taklimat ini, PERKESO juga mendapatkan butiran pekerja MYAirline untuk proses 357 permohonan faedah SIP bagi tempoh maksimum selama enam bulan, demi menjamin kelangsungan hidup keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, usaha PERKESO menyalurkan bantuan demi merungkai kemelut dialami pekerja MYAirline turut mendapat kerjasama daripada Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM),

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Azman berkata status kontrak perkhidmatan pekerja MYAirline yang seakan tergantung adalah antara faktor yang mempengaruhi proses permohonan faedah melalui Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Bagaimanapun, katanya, PERKESO akan terus melipatgandakan usaha ke arah penyaluran bantuan, termasuk dari segi pemberian faedah, penempatan pekerjaan baharu dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja MYAirline.

“Rentetan daripada perkara ini, adalah penting untuk majikan pastikan caruman PERKESO untuk pekerja dibuat mengikut ketetapan kerana jika majikan culas, kebajikan kakitangan bakal terjejas apabila pembuangan kerja berlaku.

“Kami amat memandang serius terhadap majikan yang tidak berdaftar dan mencarum pekerja di bawah seliaan mereka dengan PERKESO. Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap perkara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here