Kuala Lumpur, Jan 05.
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan beliau terbabit dalam gerakan Langkah Dubai yang didakwa dibuat bertujuan menjatuhkan kerajaan.
Dr Mahathir Mohamad menempelak Anwar Ibrahim berhubung kecamannya terhadap “Langkah Dubai”, dan berkata usaha untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang menerusi beberapa langkah politik adalah kepakaran presiden PKR itu.
Mahathir yang juga bekas perdana menteri berkata ramai masih ingat “Langkah 16 Sept” pada 2008 untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang selain “Langkah Kajang” untuk menukar menteri besar Selangor.“Ada juga langkah yang bersandar kepada ‘I have the numbers’ dan juga langkah ‘strong, formidable dan convincing majority’.
“Semuanya adalah langkah-langkah untuk mengambil-alih Kerajaan secara ‘backdoor’,” katanya dalam satu hantaran di media sosial X.
“Langkah 16 Sept” merujuk kepada usaha Anwar yang dilaporkan memujuk beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menumbangkan perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi dan menyokong beliau sebagai perdana menteri.
Usaha itu gagal selepas cadangan Anwar untuk memanggil sidang tergempar Dewan Rakyat ditolak Abdullah.
Peristiwa langkah Kajang pula bermula pada Jan 2014 apabila seorang wakil rakyat PKR meletak jawatan sebagai Adun Kajang bagi memberi laluan kepada Anwar sekali gus membolehkan beliau menjadi menteri besar Selangor menggantikan Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun, Anwar didapati bersalah atas tuduhan meliwat oleh mahkamah dan akhirnya isteri beliau Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Kajang.
Mahathir berkata, semua langkah ini bertujuan mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang tetapi ia tidaklah dianggap derhaka, satu pengkhianatan atau menyebab kerajaan tidak stabil, merosak ekonomi atau melanggar prinsip demokrasi.
“Kerajaan pintu belakangnya halal dan suci asalkan dapat jadi PM,” katanya yang turut menafikan beliau terbabit dalam “Langkah Dubai”.
“Saya sudah lama tidak ke Dubai,” katanya.
Dilaporkan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan bertemu di Dubai baru-baru ini untuk menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.