SPRM dapat kebenaran dakwa Tun Daim – Azam Baki

Putrajaya, Jan 24.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin sejak seminggu lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Daim sepatutnya sudah boleh dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, pegawai penyiasat SPRM telah berhubung dengan peguam Daim, namun pihaknya dimaklumkan bahawa bekas Menteri Kewangan itu dimasukkan ke hospital atas alasan tidak dinyatakan.

“Pihak SPRM sedang menyiapkan pertuduhan, tetapi beliau (Daim) telah dimasukkan hospital dan tidak dimaklumkan secara jelas atas sebab apa.Azam bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat pertuduhan terhadap Tun Daim.

Pada Selasa lepas isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis kerana tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.Dalam pertuduhan tersebut, Na’imah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here