Ipoh, Feb 7.
Mahkamah Majistret Ipoh menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes pegawai kanan polis didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang pelajar lelaki, Disember lalu.
Majistret S. Punitha menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan melanjutkan tarikh sebutan kes bagi melengkapkan beberapa dokumen yang masih belum diperoleh.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk penyediaan dokumen berkenaan sebelum kes dibawa ke mahkamah tinggi.
Pada 18 Disember 2023, tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang bertugas sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kedah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.





















