Jangan terbabit perjuangan Hamas – KPN

Kuala Lumpur, Feb 20.
Bukit Aman meminta rakyat Malaysia yang menyokong rakyat Palestin menterjemahkan solidariti mereka dengan cara yang betul dan bukan terbabit dengan sebarang kegiatan keganasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Malaysia tidak pernah mengklasifikasikan Hamas sebagai pengganas atau militan namun pihaknya akan memastikan tiada rakyat Malaysia terbabit perjuangan Hamas hingga mengancam keselamatan diri.

“Kita memberi amaran kepada mana-mana individu atau rakyat negara ini agar tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik antaranya Gaza atas alasan ‘berjihad’.

“Kumpulan itu tidak pernah menjemput mana-mana individu atau kumpulan dari negara luar untuk bersama-sama mereka mempertahan kawasan konflik berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau pergerakan dan sebarang aktiviti mempunyai kaitan dengan keganasan sama ada di dalam atau luar negara.

Razarudin berkata PDRM melalui Cawangan Khas sentiasa melakukan pemantauan dan risikan dalam memastikan keselamatan negara terjamin daripada sebarang unsur keganasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here