Krisis penyakit buah pinggang di Malaysia menakutkan

 

Kuala Lumpur, Mac.
Kira-kira 15.5 peratus atau lebih lima juta rakyat di Malaysia, berdepan masalah penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Setiap hari, kira-kira 28 individu didiagnosis sebagai pesakit yang buah pinggangnya gagal berfungsi secara kekal dan memerlukan dialisis untuk hidup. Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib, berkata situasi itu menunjukkan Malaysia perlu menyemak dan memperbaharui komitmen untuk melaksanakan strategi dan dasar kesihatan buah pinggang sedia ada. Beliau menyifatkan, negara kini berada di ambang krisis penyakit buah pinggang.

“Kadar pesakit dengan penyakit buah pinggang pada tahap akhir (ESRD) terus menunjukkan peningkatan dalam tempoh 20 tahun ini. “Malah ketika ini, 51,000 pesakit menghidap ESRD dan memerlukan terapi penggantian buah pinggang dan ia adalah antara kadar tertinggi di dunia,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024, hari ini.

Azrul berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dilaporkan menjangkakan lebih 106,000 rakyat Malaysia bakal menjalani dialisis menjelang 2040 jika peningkatan kadar kegagalan buah pinggang tidak berubah.

“Ia hanya 16 tahun lagi. Setiap tahun, lebih 10,000 pesakit didiagnosis dan memerlukan dialisis dan jumlah ini semakin meningkat dan ia adalah separuh daripada menghidap diabetes.

Kelaziman penyakit buah pinggang kronik semakin meningkat seiring dengan kadar diabetes,katanya

Beliau berkata, menjelang tahun hadapan dianggarkan seramai tujuh juta rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetes Jenis 2 dan ia adalah yang tertinggi di rantau Pasifik Barat.

Katanya, penghidap diabetes adalah 3.5 kali lebih banyak dan mereka juga berkemungkinan turut menghidap CKD.

Azrul berkata, pada 2010, kerajaan membelanjakan RM572 juta untuk merawat ESRD dan kini Malaysia membelanjakan kira-kira RM3.3 bilion untuk penjagaan CKD dan ESRD setiap tahun.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here