George Town, Mac.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan di dua kopitiam di Lebuh Carnavon hari ini susulan satu sebaran tular.
Sebaran itu mendakwa bahawa kopitiam tersebut memaparkan tanda di dindingnya yang bertulis:
“Setiap meja akan dikenakan bayaran RM2 jika tiada minuman dipesan.”
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata pemeriksaan menunjukkan kedua-dua tempat makan beroperasi seperti biasa.Pemeriksaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 mendapati kedua-dua kopitiam memaparkan harga makanan dan minuman yang dijual.
“Pemilik kopitiam tersebut berkata bayaran RM2 itu tidak lagi dikenakan dan tiada lagi notis sedemikian dipaparkan. Mereka mengambil perhatian perkara itu selepas tular notis berkenaan. Pengusaha kopitiam menjelaskan bahawa perkara itu berlaku kerana ramai pelancong dan pelanggan datang hanya untuk sejukkan badan sebelum bergerak ke destinasi lain.
“Terdapat juga pelanggan tempatan yang menghabiskan masa yang lama, menyebabkan tiada meja tersedia untuk pelanggan baru,” tambahnya.
Jegan berkata tiada tindakan diambil kerana kedua-dua tempat makan mematuhi peraturan dengan memaparkan harga barang yang dijual.
————————————
























