Keselamatan pemain lebih penting – Sultan Selangor

Kuala Lumpur, Mei.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 Mei ini.

Sultan Sharafuddin yang juga penaung Selangor FC turut menzahirkan rasa kecewa kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan skuad Gergasi Merah supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.

Baginda berpandangan, susulan beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain termasuk Faisal Halim dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super 2024/25.

“Keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

“Ia bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim juga harus diambil kira,” titah baginda menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Selangor FC sebelum ini memohon MFL menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan insiden simbah asid ke atas Faisal selain ugutan yang diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here