Pakar cadang pemeriksaan kesihatan mental di sekolah

Kuala Lumpur, Mei.
Kerajaan digesa memperkenalkan pemeriksaan kesihatan mental secara berkala di sekolah untuk mengatasi peningkatan kes membabitkan kanak-kanak serta remaja sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Andrew Mohanraj, berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang mendedahkan satu daripada enam kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental harus menjadi peringatan.

Menurutnya, program intervensi awal harus disasarkan kepada kumpulan terdedah risiko dengan menyediakan ‘ruang selamat’ untuk mereka membincangkan pengalaman berdepan masalah kesihatan yang mungkin disebabkan buli atau dera.

“Buat pemeriksaan kesihatan mental secara berkala di sekolah untuk mengenal pasti individu berisiko menghadapi isu kesihatan mental lebih awal dan menyediakan intervensi tepat.“Latih guru dan kakitangan sekolah mengenali tanda awal masalah kesihatan mental supaya sokongan awal dapat diberikan, namun ini hanya boleh dibuat jika ada sumber mencukupi dan terlatih,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mencadangkan pendidikan kesihatan mental dilaksana secara komprehensif, dengan merangkumi pengajaran berkaitan peraturan emosi dan juga strategi mengatasi masalahnya.

Laporan NHMS yang diterbitkan 16 Mei lalu juga mendedahkan beban masalah kesihatan mental dilapor meningkat dua kali ganda sejak 2019.

Selain itu, sejuta atau 4.6% penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.

Sementara itu, pakar kanak-kanak Subash Kumar Pillai dari Klinik Pakar Psikiatri Raintree mencadangkan pembabitan ibu bapa dalam setiap program kesihatan mental dianjurkan sekolah bagi meningkatkan kesedaran.

“Sekolah adalah tempat sesuai memupuk kesedaran. Tahap (kesedaran) kanak-kanak dan remaja dilihat kian meningkat namun ada ruang penambahbaikan dalam kalangan warga dewasa,” katanya.

Beliau yang pernah menjadi perunding psikiatri Universiti Malaya berkata persekitaran rumah dan budaya yang diterapkan oleh ibu bapa antara faktor membentuk fenomena negatif yang mempengaruhi keadaan psikologi anak-anak.

Katanya, kekurangan masa diluangkan ibu bapa bersama mereka ketika proses membesar turut menjadi faktor kemurungan berulang-ulang dialami kanak-kanak tertentu.

“Ramai ibu bapa juga mahu anak berprestasi cemerlang di sekolah dan jarang memberi pujian. Mereka menganggap ini psikologi terbaik untuk ‘motivasi’ kanak-kanak untuk bekerja keras.

“Kepercayaan sama turut diamalkan di sekolah tetapi akhirnya beri tekanan kepada murid terbabit,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here