Kuala Lumpur, Mei-
Mahkamah Majistret, di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 terhadap seorang penganggur kerana mencuri 13 makanan serta minuman termasuk arak, ais krim dan susu bernilai RM556 di pasar raya, minggu lalu.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha, memutuskan hukuman berkenaan terhadap R.G. Ravitheran, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.
Mahkamah juga mengarahkan lelaki itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Ravitheran didakwa mencuri barang terbabit di pasar raya di sebuah kondominium dekat Ara Damansara, di sini, jam 1.22 pagi pada 22 Mei lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pekerja pasar raya berkenaan dimaklumkan bahawa stok barang berkurangan, namun tiada pembayaran dibuat.





















