Putrajaya, Jun-
Penemuan mengejutkan apabila pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menemui rangka dan tulang harimau belang milik ‘geng pemburu’ haram.
Harimau belang itu dipercayai dibunuh sebelum dilapah dagingnya manakala tulang haiwan itu disimpan dipercayai untuk dijual di pasaran gelap.
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata kejayaan itu adalah hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membabitkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai PERHILITAN.
Menurutnya, kejayaan itu membabitkan dua serbuan di dua lokasi di Rompin, Pahang, kelmarin.
“Serbuan pertama dilakukan di parkir sebuah premis manakala serbuan kedua di sebuah kediaman di Rompin, Pahang, sekitar jam 6 petang hingga jam 8.30 petang kelmarin.
“Susulan operasi dilakukan itu, seramai enam suspek diberkas selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penjualan haram hidupan liar dilindungi.
“Antara suspek ditahan membabitkan tiga lelaki Orang Asli yang terbabit dalam membantu aktiviti penjualan hidupan liar,” katanya. Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 40-an dan 50-an yang disyaki mengaturkan penjualan hidupan liar kepada pembeli.
“Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dikesan menyembunyikan rangka tulang harimau.
“Pihak kami turut merampas sebuah Proton Saga yang dipercayai digunakan untuk membawa bahagian hidupan liar dilindungi yang mahu dijual sindiket,” katanya.
Hasil pemeriksaan pegawai PERHILITAN di kediaman suspek menemui beg berisi rangka kepala harimau belang.
“Turut ditemui dalam sebuah lagi beg ialah tulang-tulang harimau belang. Suspek dipercayai memburu atau menjerat haiwan liar dilindungi itu sebelum tulangnya dikumpulkan. “Semua tulang haiwan, kereta dan telefon pintar dirampas dianggarkan bernilai lebih RM228,000,” katanya.Susulan itu semua suspek ditahan dan disiasat.




















