Johor Bahru, Julai-
Sepasang suami isteri warga Singapura berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, kereta BMW dinaiki pasangan berusia 30-an berkenaan terbakar berhampiran kaunter 9, laluan kereta untuk masuk ke Singapura.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata ketika kejadian, kebakaran berjaya dikawal oleh pihak polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), polis bantuan dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Pasukan berkenaan menggunakan alat pemadam api BSI bagi mengawal kebakaran daripada merebak.”Api dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.35 malam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Raub berkata, tiada kemalangan jiwa serta kerosakan harta benda lain dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Saiful Nizam Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 8.15 malam sebelum 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah kereta BMW yang musnah 60 peratus.


















