Kuala Lumpur, Nov-
Seorang wanita didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan membunuh tanpa niat seorang warga emas yang ditemui mati di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya, 25 Okt lalu.
Majistret Siti Nora Sharif yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan tertuduh Siti Nuridah Jumli, 24, dihukum penjara dua bulan jika gagal membayar denda, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, wanita itu bersama seorang lagi yang masih bebas bertindak gopoh yang tidak terjumlah kepada mematikan orang dengan salah hingga menyebabkan kematian kepada Abd Kamar Mat Sarin, 64.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pintu masuk pasar raya di Klebang antara jam 4.20 hingga 5.30 petang, 25 Okt lalu.
Berdasarkan fakta kes, Siti Nuridah bersama seorang lagi yang masih bebas bertindak gopoh dengan menampar tepi muka dan belakang si mati sehingga menyebabkan kematian kepada warga emas itu yang mempunyai masalah sakit jantung.
Terdapat saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan perbuatan tertuduh dan suspek yang masih bebas menampar tepi muka dan belakang kepala si mati.
Laporan perubatan juga menunjukkan bahawa si mati mempunyai masalah sakit jantung dan tidak mendapatkan rawatan di hospital.




















