Anetha Gunasekaran
Buli siber atau ‘cyber bullying’ telah menjadi salah satu isu sosial yang semakin meningkat di Malaysia, dengan kesan yang mendalam terhadap mangsa, terutamanya dalam kalangan golongan muda, kata Timbalan Menteri M. Kulasegaran. Mengikut beliau, buli siber bukan sahaja merosakkan kesejahteraan mental individu tetapi juga menggugat emosi dan fizikal mereka. Dalam konteks ini, beliau menekankan bahawa buli siber adalah ancaman serius yang memerlukan tindakan segera dari semua pihak – termasuk kerajaan, masyarakat, dan penyedia platform dalam
Bagi menangani cabaran ini, langkah undang-undang dan kerangka peraturan yang kukuh perlu diwujudkan agar platform media sosial dan penggunanya bertanggungjawab dalam mencegah kandungan berbahaya tanpa menghalang kebebasan bersuara. Ini termasuk ketelusan dan tanggunjawab syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dalam melindungi data peribadi para pengguna, dan sekatan yang jelas terhadap penyebaran mesej-mesej kebencian dan maklumat palsu.
Pendekatan ini mampu melindungi pengguna media sosial tanpa mengkongkong hak bersuara mereka. Dengan mengimbangi kebebasan dan keselamatan digital, kita dapat membina masyarakat digital yang lebih sihat dan harmoni, di mana rakyat berasa lebih selamat dan yakin dalam alam siber.
Kenaikan jenayah yang mendadak dalam talian sememangnya membimbangkan, dari penipuan dalam talian yang semakin menjadi-jadi hingga ke kes-kes buli siber yang membawa kepada kematian. Kami sedang melakukan kajian yang terperinci dan dalam proses untuk memperkenalkan undang-undang baharu.
Undang-undang sedia ada masih tidak memadai untuk menangani kes buli siber, terutamanya apabila perbuatan tersebut membawa kepada kematian. Saya percaya, ‘Kes Esha’ jelas menunjukkan keperluan segera untuk perubahan. Kerajaan komited untuk menangani masalah ini dan memastikan langkah-langkah yang lebih tegas boleh diambil pada masa akan datang, katanya lagi.
Untuk menangani lonjakan kes-kes dalam talian, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah penting, antaranya:
Pertamanya, ‘Online Safety Act’ yang akan diperkenalkan tahun ini. Akta ini akan memberikan kewajipan berkanun kepada penyedia perkhidmatan internet dan media sosial untuk memastikan bahawa platform mereka selamat dan bebas daripada ancaman buli dalam talian. Undang-undang ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada pelbagai risiko, termasuk buli siber, gangguan, dan penyebaran kandungan berbahaya.
Keduanya, pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah yang telah dicadangkan untuk menangani jenayah buli siber secara lebih eksplisit dan memberi hukuman yang lebih berat bagi mereka yang terlibat dalam perbuatan tersebut. Kita harus mempunyai undang-undang yang tegas untuk menangani kes-kes yang mendatangkan kemudaratan teruk seperti kematian.
Mulai 1 Januari 2025, Kementerian Komunikasi akan melaksanakan pelesenan bagi penyedia media sosial di Malaysia. Walaupun bagi sesetengah pihak ini mungkin dilihat sebagai langkah yang radikal, ia merupakan langkah yang sangat penting untuk memastikan penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi di platform mereka.Langkah ini bertujuan untuk memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan memastikan semua pihak yang terlibat dalam ekosistem digital bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesejahteraan pengguna.
Selaku Ahli Parlimen Ipoh Barat beliau juga berpesan kepada pengguna media sosial untuk berfikiran matang. Ini kerana setiap mesej, gambar, atau video yang mereka kongsi dalam talian boleh memberikan kesan yang besar terhadap orang yang melihatnya, sama ada dalam bentuk positif atau negatif, dimana ianya sukar dijangka.
Privasi adalah hak asasi setiap individu, dan dalam dunia digital yang semakin terbuka, kita semua perlu lebih berhati-hati dalam mengendalikan maklumat peribadi – baik milik kita mahupun orang lain. Perkongsian butiran peribadi, foto, atau mesej orang lain tanpa kebenaran mereka bukan sahaja boleh menyebabkan pencerobohan privasi, tetapi juga kesan negatif yang berpanjangan terhadap reputasi orang yang terlibat.
Mereka seharusnya berinteraksi dengan empati terhadap orang lain dalam media sosial. Empati bukan sahaja membantu kita untuk membina hubungan yang lebih baik dalam dunia maya, tetapi juga menggalakkan persekitaran yang lebih positif, selamat, dan berkualiti, ujar beliau lagi.