Kuala Lumpur, Nov-
Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan elemen pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada murid Tahun Satu melalui kurikulum persekolahan 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, murid sekolah rendah akan diperkenalkan elemen TVET menerusi pembelajaran bersepadu menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.
“Seterusnya bagi murid Tahun Lima dan Enam, mereka akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, sains rumah tangga, kejuruteraan, pengaturcaraan dan pertanian.
“Pembelajaran dilaksana berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi serta digital dalam pelbagai bidang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada KPM berhasrat memperkenalkan laluan program TVET seawal tingkatan satu bagi memberi peluang pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.





















