Kuala Lumpur, Dis-
Seramai 122,062 murid atau 27.24 peratus dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Penemuan itu berdasarkan hasil saringan pengesanan awal literasi dan numerasi terhadap 448,113 murid Tahun Satu yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) seawal tiga bulan selepas mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) sesi akademik 2024/2025.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata murid berkenaan mengikuti Program Intervensi Tahun Satu Fasa Satu dan diberi bimbingan secara berfokus melalui pendekatan pengajaran yang lebih intensif dari Julai hingga September lalu.
“Berdasarkan analisis data yang berakhir pada 30 Oktober 2024, seramai 48,308 murid (39.58 peratus) berjaya menguasai kemahiran asas 3M. “
Murid ini kembali mengikuti PdP di kelas biasa, manakala 73,754 murid (60.42 peratus) yang belum mencapai tahap penguasaan meneruskan intervensi untuk Fasa Dua untuk tempoh tiga bulan (Oktober sehingga Disember).
“Bagi murid yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M selepas menjalani intervensi Fasa Dua, mereka akan dicalonkan untuk mengikuti intervensi dalam Program Pemulihan Khas yang dilaksanakan guru pemulihan apabila di Tahun Dua, yang menyediakan bimbingan secara intensif untuk memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya hingga mampu mencapai tahap literasi dan numerasi yang diharapkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.