Jasin, Dis-
Wanita pelukis inai dilapor hilang sejak Ahad lalu sudah ditemui petang semalam, ‘bersembunyi’ di rumah kenalannya di Taman Kelubi Damai, di sini.
Kehilangan R. Niveshini, 22, dilaporkan ibunya jam 8.24 malam kejadian selepas menyedari anaknya itu tiada di rumah mereka di Taman Bemban Height, dekat Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata wanita berusia 43 tahun itu membuat laporan berkenaan kerana bimbangkan keselamatan anaknya dan siasatan dibuat mengikut kes orang hilang.
“Bertindak atas laporan, polis melakukan siasatan lanjut sebelum menyerbu sebuah rumah di Taman Kelubi Damai, pada jam 3.35 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan, kita jumpa wanita itu sedang bersembunyi dalam almari baju di bilik utama rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan .
Ahmad Jamil berkata, hasil soal siasat, Niveshini mengaku keluar dari rumah terletak 10 kilometer (km) dari rumah kenalan itu secara sukarela atas alasan ingin bersendiri.
“Siasatan mendapati dia tinggal di rumah sepasang suami isteri yang mempunyai anak lelaki berusia empat tahun dan dilayan dengan baik oleh mereka. Mereka berkenalan beberapa bulan lalu atas urus niaga inai.
“Ketika polis tiba di rumah terbabit, wanita itu memberitahu dia bersembunyi dalam almari bagi mengelak dikesan. Polis kemudian membawanya ke Hospital Jasin untuk pemeriksaan fizikal sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.