Johor Bahru, Jan 8.
Jumlah mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 6,564 orang daripada 1,819 keluarga yang ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) enam daerah setakat 8 pagi tadi berbanding 3,322 orang pada 8 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Azmi Rohani berkata, pertambahan itu susulan peningkatan mangsa di Kota Tinggi, Kluang dan Johor Bahru.
“Kota Tinggi mencatatkan mangsa tertinggi dengan 2,964 orang daripada 783 keluarga di 24 PPS, diikuti Johor Bahru 1,844 orang daripada 504 keluarga di 10 PPS dan Kluang dengan 1,633 mangsa daripada 500 keluarga di 14 PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kulai pula merekodkan 86 mangsa banjir daripada 23 keluarga, 20 orang daripada lima keluarga di Segamat dan Pontian seramai 17 orang daripada empat keluarga, masing-masing ditempatkan di sebuah PPS.