Jerantut, Dis-
Hampir enam jam diambil untuk membersihkan dan mengeluarkan kira-kira satu tan sampah dari rumah dihuni seorang wanita warga emas di Taman Koperasi, dekat sini.
Kerja-kerja pembersihan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah, bagi membantu membersihkan kediaman Halimah Mat Arop, 75, yang tidak terurus sejak beberapa tahun lalu.
Seramai 80 sukarelawan bukan sahaja mengeluarkan barangan lama di rumah terbabit, malah membasuh dan membersihkan rumah dan juga sekitar kawasan rumah yang dipenuhi semak samun.Menurut Haris Salleh, beliau sedih dengan nasib Halimah yang tidak mampu mengurus rumahnya kerana sudah berusia.
Katanya, suasana rumah sangat teruk sehingga sukar untuk melangkah masuk kerana dipenuhi timbunan pelbagai barangan yang boleh dianggap sampah.
“Kawasan rumahnya juga berbau busuk kerana dia memelihara banyak kucing yang membuang najis merata. Dia memberi alasan tidak mampu mengurus rumah kerana sudah berusia dan terpaksa bekerja di kawasan Pasar Tani Jerantut, ” katanya.
Kerja-kerja pembersihan membabitkan pelbagai agensi SWCorp, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dan Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut.





















