Kuala Lumpur, Jan-
Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA) menawarkan ganjaran RM10,000 bagi maklumat sah yang membawa kepada pengecaman dan pendakwaan individu yang bertanggungjawab atas perbuatan kejam memotong anggota badan haiwan di Universiti Malaya (UM).
Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin, berkata perbuatan kejam itu bukan saja mengerikan dan menyayat hati, tetapi juga perbuatan jenayah berat mengikut Akta Kebajikan Haiwan Malaysia 2015.
“Kami menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh dipercayai untuk tampil ke hadapan. Bersama-sama kita memastikan keadilan untuk haiwan yang tidak bersalah ini dan mencegah tragedi masa depan.
“Sama ada kecederaan berpunca daripada tindakan manusia atau interaksi haiwan sesat, adalah penting untuk menentukan fakta dan melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah bahaya selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Sebelum itu, akhbar melaporkan selepas lima kucing dilaporkan mati didakwa dibunuh di Universiti Malaya (UM), seekor lagi bangkai kucing ditemukan berhampiran pusat gimnasium universiti berkenaan.
Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) memaklumkan, bukan itu saja, seekor anjing turut dilaporkan mati dengan diperlakukan jenayah sama.